Thursday, October 3, 2013

Cinta dan Persahabatan... Bisakah Bersatu?


Dalam menjalinkan sebuah hubungan persahabatan antara lelaki dan wanita, pastinya akan wujud secebis perasaan diantara satu sama lain. Sukar untuk dinafikan perasaan nie bagi seseorang kerana hadirnya tanpa diduga... Disaat sesebuah persahabatan itu terjalin, maka akan terbitlah rasa disayangi, ambil berat serta perhatian diantara dua jiwa ini... Namun untuk meluahkan pastinya akan ada rasa ragu-ragu dan takut kehilangan serta memulakan onar dalam sebuah hubungan yang telah lama dibina. Benar. Kadangkala, rasa itu ingin dilontarkan mengikut kata hati yang meronta-ronta untuk meluahkan apa yang terbuku selama ini. Tapi pastinya akan berbelah bahagi perasaan itu seketika, samada ingin melafazkan atau sekadar memendam rasa di dalam hati. Andai tidak mencuba kuatir si dia hilang dari pandangan mata untuk selamanya dan jika mencuba belum pasti si dia dapat menerima hubungan yang terbina atas tiket persahabatan... Memang benar ramai orang berkata, sahabat baik tak mungkin boleh jadi kekasih. Impaknya jika sesuatu hubungan itu menemui kegagalan, belum tentu hubungan persahabatan yang telah lama terbina akan menjadi jernih seperti sebelumnya. Sanggupkah untuk mengorbankan ikatan Persahabatan yang bertahun lamanya dibina bersama dek kerana rasa Cinta yang belum pasti apakah penghujungnya? Dan tidak salah jugak untuk mencuba kerana siapa tahu si dia juga menyimpan rasa yang sama terhadap dirimu? Pastinya sebuah hubungan itu akan menjadi lebih indah dan bahagia. Konflik dan perselisihan faham sememangnya menjadi seperti gigi dan lidah dalam sesuatu perhubungan. Begitulah jua dalam perjalanan sebuah kehidupan, pastinya akan ada gelora yang akan menggugat keutuhan sebuah ikatan. Apa yang sebaiknya adalah perbincangan dan fikiran yang matang mendahului segumpal emosi yang membuak di dalam hati. Usah biarkan emosi itu disebarkan tanpa sempadan. Setiap patah kata yang tercipta dari sepasang bibir harus dipelihara. Kerana ular gagah pada bisanya, manusia membunuh dengan kata-katanya... Jangan kerana emosi yang tidak mampu dikawal, hilang kewarasan kita dalam berbicara. Implikasinya hanya meninggalkan sebuah luka yang mendalam diatas sekeping hati yang lara. Sahabat dan Kekasih adalah berbeza, namun pabila disatukan keindahannya tidak dapat diucapkan dengan kata-kata. Namun keindahannya akan jauh lebih bermakna andai gelaran Kekasih itu berubah kepada si dia yang ditakdirkan sebagai Jodoh kita. Nikmat perhubungan yang tidak dapat dibayangkan kemanisannya. Impian setiap insan yang ingin mencintai dan dicintai dalam sebuah perhubungan yang diredhai Illahi. Semoga akan kumiliki detik itu bersamanya... Insyaallah, segalanya terserah padaNya yang menentukan segalanya... Buatmu Jodoh yang terindah, toleransi antara kita adalah kunci kebahagiaan yang ingin kita miliki bersama...

Coretan Nota-nota hati Diari Samprit Ungu...

No comments: